Mohamad Sabu: Hargai penghormatan Agong, bergelar atau tidak mesti berbakti
Pengurniaan darjah dan pingat kebesaran bagi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu bukanlah bermakna kedudukan seseorang itu dimuliakan atau direndahkan.
Sebaliknya beliau menyatakan apa yang penting seseorang yang bergelar atau tidak, mereka mesti bekerja dan berbakti kepada masyarakat.
“Yang penting seseorang itu sama ada bergelar atau tidak, mesti bekerja dan berbakti kepada masyarakat untuk menegakkan perkara makruf serta keadilan.
“Menentang segala bentuk kezaliman, menonjolkan akhlak yang mulia yang dilihat orang ramai sebagai orang yang berbakti kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Semalam Presiden AMANAH itu mengetuai senarai 164 penerima pingat dan darjah kebesaran yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersempena Hari Wilayah Persekutuan 2023 di Istana Negara.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta menteri-menteri Kabinet.
Menurut kenyataan Jabatan Wilayah Persekutuan, Mohamad, 69, dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri bersama enam lagi penerima pada istiadat pengurniaan itu.
Ahli Parlimen Kota Raja berkata gelaran yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan Gabenor negeri adalah tanda penghormatan yang diberikan kepada seseorang.
“Kita mengalu-alukan penghormatan yang diberi itu,” katanya sambil menambah pada diri beliau, kemegahan atau kehinaan, kejayaan atau kegagalan seseorang itu bukanlah bergantung kepada gelaran yang diterima,” ujarnya.
Mohamad berkata terdapat rakannya berkata bahawa orang Melayu amat menghormati mereka yang bergelar dengan gelaran yang tinggi.
“Jawapan saya, dalam politik dan pilihan raya, ada yang bergelar Tun, Tan Sri, Datuk Seri dan Datuk ditolak oleh rakyat dan kalah di tangan orang biasa.
“Oleh itu, soal gelaran bukanlah bermakna kedudukan seseorang itu dimuliakan atau direndahkan,” katanya.