DAP perlu atur semula kedudukan Ramasamy

EKSKLUSIF DAP wajar mengatur semula kedudukan Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy, dakwa ketua perhubungan Pakatan Harapan Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria.

“Beliau banyak mengangkat isu-isu tertentu tetapi cara penyampaiannya mengguris sentimen masyarakat, terutamanya masyarakat Melayu – Islam,” kata Zaidi semasa temuramah eksklusif dengan Harapan Daily baru-baru ini.

Ramasamy sekarang ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Perai dan Timbalan Ketua Menteri. Selain itu beliau juga merupakan pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang.

Mantan pensyarah tersebut sains politik dari UKM itu menyertai DAP apabila kontraknya tidak disambung.

“Mungkin Ramasamy wajar diberi jawatan pengerusi di dalam syarikat berkaitan kerajaan atau menjawat jawatan Datuk Bandar.”

Zaidi berkata demikian ketika diminta pandangan mengenai Ramasamy yang lantang menyuarakan pandangan terhadap sesuatu isu hingga tahap ia menyebabkan kegusaran dalam kalangan ahli komponen Pakatan Harapan.

Terbaru, Ramasamy menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalankan usaha reformasi dalam sistem perkhidmatan awam yang menurutnya didominasi oleh kumpulan masyarakat sahaja.

Zaidi turut mencadangkan agar pemimpin DAP lain dari masyarakat India diangkat.

“Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer memang menyantuni dan seringkali bekerjasama demi kepentingan rakyat,” katanya.

RSN Rayer tidak menjadi Adun lagi setakat ini.

Menjawab soalan lain pula, Zaidi menyatakan bahawa ahli parlimen Perikatan Nasional di Pulau Pinang langsung tidak turun padang sejak menang dalam pilihan raya umum ke-15.

“Mereka bertiga tak nampak bayang pun di kawasan,” kata Zaidi merujuk kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh Fawwaz Jan (PAS), Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan (Bersatu) dan Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Mohamad (PAS).

Baru-baru ini Mastura terpalit dengan kontroversi bahawa beliau tidak menyantuni pengundi bukan Melayu. Sebelum itu, Fawwaz pula mencuri perhatian umum dengan membuat video TikTok di mana beliau mengganggu promosi jualan minuman keras sempena Tahun Baru Cina.

Boleh terima bekas ahli Umno jika tambah nilai pada parti

Beliau yang juga naib pengerusi Amanah I, Pulau Pinang turut memberi komen berkaitan penyertaan bekas ahli Umno ke dalam parti komponen Pakatan Harapan.

Penyertaan bekas ahli Umno ke dalam parti komponen perlu dinilai dari sudut sama ada penyertaan mereka menambahkan parti atau tidak, katanya

“Untuk saya, saya lihat merit individu. Kalau ada kes, ia liabiliti. Kalau khidmat mereka tidak memberangsangkan, tak tambah kuah pada parti, buat kenyataan tak kuat, tak prihatin pada rakyat dan banyak kenyataan sakit hati, tak perlu.

“Kalau Khairy Jamaluddin mohon, kita untung tapi Zahidi Zainul Abidin, saya tak lihat kita boleh untung. Dia bongkak dan tak berpijak di bumi nyata,” kata Zaidi.

Dia berkata begitu ketika diminta mengulas percubaan Zahidi yang pada mulanya memohon untuk masuk PKR dan kemudiannya memohon pada Amanah.

Zahidi telah dibuang dari Umno ekoran tindakannya bertanding melawan calon Umno di Perlis. Khairy juga telah dipecat dari Umno dan akan mula menempa nama sebagai pengacara radio.

Dalam perkembangan berkaitan presiden PKR merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telahpun menyatakan kemasukan bekas ahli Umno akan dibincangkan dengan Umno terlebih dahulu.

Timbalan presiden Amanah Datuk Salahuddin Ayub turut mengulangi pendirian Anwar.

BACA JUGA: Ahli Umno sertai Amanah: Akan runding dahulu –  Salahuddin

Agenda Melayu-Islam untuk menangi kerusi majoriti Melayu Pulau Pinang

Kerjasama Umno-DAP mengorbankan kerusi PKR, Amanah?