Ada kaedah lain selain KWSP

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini dapat menangani seruan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dapat diatasi dengan kaedah lain, hujah pengerusi biro pekerja PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid.

“Perlu untuk kita tahu, Anwar satu-satunya individu yang berjaya ‘surplus budget’dan diiktiraf sebagai menteri kewangan terbaik Asia. Perdana Menteri sendiri memberi jaminan untuk memberi solusi (selain daripada pengeluaran KWSP) dan saya optimis dengan kemampuannya,” kata beliau dalam wawancara Borak Dahsyat: Belanjawan Malaysia Madani, Apa Kita Dapat? yang disiarkan menerusi media sosial.

Abdullah Sani yang juga bekas Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memberi ‘bayangan’ pengawalan kos sara hidup dan subsidi berkemungkinan akan digunakan dalam pembentangan bajet nanti.

“Saya berpandangan cara terbaik untuk mengawal isu KWSP ini ialah menumpukan kepada kos sara hidup dan subsidi. Ia secara tidak langsung dapat menyelesaikan sebahagian besar beban rakyat dan membolehkan mereka meneruskan kehidupan,” jelasnya lagi.

Beliau yang juga bekas ahli parlimen Kapar turut menegur sikap pembangkang yang sepatutnya berperanan menjadi semak dan imbang kepada kerajaan bukan hanya ‘berpolitik’ semata-mata.

“Saya nampak mentaliti pembangkang ini hanya mahukan populariti (meluluskan pengeluarsn KWSP) tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang kepada pencarum yang tidak mempunyai simpanan yang mencukupi.

“Sepatutnya apa yang mereka perlu lakukan ialah memberi satu cadangan bernas dan bukan hanya bersandiwara sahaja,” ujarnya lagi.

Beberapa hari yang lalu beberapa kumpulan pertubuhan bukan kerajaan telah mengadakan demonstrasi mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran wang KWSP.

Pentadbiran yang lalu telah membenarkan sebanyak empat pengeluaran KWSP.

Pentadbiran Anwar walau bagaimana pun tidak akan berbuat demikian. Perkara ini telah ditegaskan oleh timbalan menteri kewangan Datuk Ahmad Maslan dan Anwar sendiri.

Tambahan pula perkara ini turut diteliti di dalam gagasan Anwar, Malaysia Madani yang melihat kepada pilihan lain untuk membantu rakyat.

BACA LAGI: Lepas kerajaan bertegas tiada pengeluaran, Shahidan masih bawa usul keluar KWSP

Ekonomi negara semakin pulih, tak perlu keluarkan wang KWSP