Ambil tindakan fatwa politik melampau MB Kedah

Pihak berkuasa agama serta agensi terlibat digesa supaya mengambil tindakan dan memantau fatwa politik melampau yang acapkali dizahirkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, kekerapan kenyataan Sanusi yang condong kearah fatwa politik yang melampau dan keterlaluan telah menimbulkan kebimbangan dikalangan masyarakat.

“Dakwaan terkini Sanusi melalui tularan video yang mendakwa orang Barisan Nasional (BN) yang pergi ke Makkah melontar jamrah iaitu melontar syaitan, namun apakala pulang berkawan pula dengan syaitan.

“Kenyataan sedemikian tidak seharusnya dizahirkan oleh seorang MB maupun fatwa politik berteraskan agama yang begitu kerap dikeluarkan oleh pimpinan Pas.

“Fatwa politik yang menyentuh isu agama sekiranya dibiarkan berterusan akan menimbulkan kebimbangan masyarakat dan ianya amat berbahaya kerana boleh menghidupkan semula budaya takfiri yang boleh memudaratkan keadaan,” ujar beliau yang juga merupakan Naib Presiden AMANAH.

Saran beliau, tindakan undang-undang seharusnya diambil bagi memastikan perkara sedemikian tidak berterusan dan ia turut mencemarkan nama baik Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah selaku ketua agama Islam negeri Kedah.

Sehubungan itu tegas Mahfuz, MB Kedah sewajarnya mengikut teladan Ketua Pemuda Pas kawasan Sik yang turut melepaskan jawatan beliau setelah mengakui kesilapannya apabila mengeluarkan fatwa politik yang mendakwa undi yang diberikan kepada PH dan BN akan masuk neraka.

Sebagai MB adalah wajar bagi Sanusi mengikut jejak yang sama dan melepaskan jawatan beliau serta berundur dengan segera setelah mencalarkan nama baik Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah yang telah memberikan watikah pelantikan sebagai MB Kedah sebelum ini.

 

BACA JUGA Kalau popular sangat, Sanusi dicabar tanding di kerusi DAP

JUGA Dasar perumahan ancam kepentingan rakyat, dakwa Sanusi