Kalau popular sangat, Sanusi dicabar tanding di kerusi DAP

Bagi membuktikan Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Mohamad Sanusi Md Nor mempunyai sokongan menyeluruh daripada rakyat negeri Kedah, adalah lebih baik bagi beliau bertanding di kawasan selain Dun Jeneri yang dimenangi beliau.

Ini termasuklah Dun Kota Darul Aman maupun Derga yang dimenangi oleh DAP bagi ‘menyelamatkan’  orang Melayu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Kedah, Datuk Mahfuz Omar menyarankan demikian bagi menjawab saranan Sanusi supaya Mahfuz kembali bertanding di salah satu kerusi Dun dalam negeri Kedah dalam pilihan raya negeri (PRN).

“MB Kedah yang menganggap beliau sebagai hero orang Melayu dan sering melemparkan pelbagai dakwaan terhadap DAP, adalah lebih baik menyahut cabaran bertanding di kerusi-kerusi tersebut kerana ia kini dimenangi oleh DAP.

“Sanusi seharusnya berani menyahut cabaran ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah membuktikan bahawa beliau bukan saja diterima di Permatang Pauh, tetapi juga di Port Dickson dan kini di Tambun.

“Di samping itu kerjasama PH dan BN dalam menghadapi PRN negeri tidak lama lagi telah menimbulkan kebimbangan Sanusi apabila ia mengharapkan akan berlakunya perpecahan di enam buah negeri kelak,” ujar Mahfuz yang juga merupakan Naib Presiden AMANAH.

Sebelum ini, Sanusi turut mendakwa bahawa rundingan pembahagian kerusi menjelang PRN akan datang akan menemui kegagalan serta akan memberi impak besar ekoran perpecahan melibatkan gabungan PH dan BN.

 

BACA JUGA AMANAH Kedah sasar menang sembilan kerusi PRN

JUGA Retreat AMANAH Kedah susun pendekatan terbaik hadapi PRN