‘Agih kerusi di PRN Negeri Sembilan tidak mudah, masing-masing perlu ada ‘roh’ perpaduan’

Agihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, bukanlah sesuatu perkara mudah untuk dilaksanakan.

Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (MPPH) Negeri Sembilan, Abd Latif A Tambi, bagaimanapun berkata, pihaknya akan mencuba sedaya upaya dalam isu pembahagian kerusi itu agar ianya lebih adil.

“Pembahagian kerusi akan lebih mudah apabila parti-parti berkait mempunyai roh perpaduan, di mana setiap parti bersifat memberi dan menerima.

“Sikap memberi dan menerima itu juga perlu ada. Contohnya, di mana kawasan yang BN menang, mereka akan bertanding di situ. Di mana PH menang, mereka akan bertanding di kawasan dimenangi.

“Bagi saya, tak bolehlah ambil kira seperti itu. Dalam konteks kepuasan, tiap-tiap parti mesti ada wakil mereka di setiap kawasan Parlimen supaya ianya nampak adil,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Beliau mengulas demikian apabila ditanya tentang perkembangan terbaharu mengenai agihan kerusi di negeri Adat Perpatih itu menjelang PRN tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Abd Latif yang juga Pengerusi MPPH Tampin turut mengambil contoh mengenai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah itu.

“Sekarang ini DUN Gemencheh dan Gemas di bawah BN, manakala DAP pula di DUN Repah. Ini bermakna dua DUN dan satu Parlimen (Tampin) di bawah BN, satu DUN lagi di bawah DAP.

“Di sinilah roh perpaduan atau the spirit of coalition berperanan seperti Umno-BN perlu berlapang dada dalam pembahagian yang adil.

“Contohnya, kalau di Tampin tidak ada wakil AMANAH mahu pun PKR, maka ahli dan penyokong parti masing-masing akan beranggapan mereka tiada payung untuk berteduh. Pastinya akan menyebabkan ketidakpuasan hati akar umbi.

“Inilah dia yang dimaksudkan dengan situasi kompleks (rumit). Tetapi kita akan cuba atasi perkara itu supaya lebih adil kepada semua pihak,” ujarnya sambil menambah tiada sebarang rundingan agihan kerusi dilakukan setakat ini.

Menurut beliau lagi, dalam pembahagian kerusi, adalah perlu untuk mengambil kira matlamat perpaduan bagi merealisasikan kemenangan dan pengagihan kerusi juga perlu seimbang dalam konteks persepsi penyokong dan ahli.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dilapor berkata, Negeri Sembilan akan membubarkan DUN pada 1 Jun depan, sekali gus memberi laluan kepada penganjuran PRN.

Selain Negeri Sembilan, lima negeri bakal terlibat dalam PRN iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang berikutan masing-masing tidak membubarkan DUN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Untuk rekod, PH di Negeri Sembilan menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN, manakala BN mempunyai 16 kerusi yang diperoleh pada PRU14.

Sementara itu, pada PRU15 tahun lalu, BN memenangi lima kerusi Parlimen di negeri itu, berbanding tiga kerusi dimiliki PH iaitu Seremban, Rasah dan Port Dickson.

BACA JUGA PRN Negeri Sembilan: PN tiada kekuatan luar biasa