Pemimpin PH BN yakin boleh rampas Kedah kembali
Para pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Kedah melahirkan keyakinan mereka untuk merampas negeri itu dari Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri nanti ekoran kerjasama erat antara mereka.
Ia dilahirkan dalam ucapan pemimpin mereka dalam pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil di Alor Setar malam tadi.
Menurut Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh, dalam ucapan mereka, masing-masing melahirkan keyakinan dan kemampuan untuk mengambil alih pimpinan Kerajaan Negeri Kedah setelah dirampas oleh Pas PN tempoh hari.
Fahmi Fadzil melakukan lawatan kerja beliau selama dua hari ke Kedah kelmarin.
“Perbincangan pemimpin utama PH dan BN Kedah berjalan penuh mesra di Hotel Raia Alor Setar malam tadi mengambil keberkatan bulan Ramadhan,” kata Dr Ismail, bekas Exco kerajaan negeri Kedah itu.
Umno yang baharu sahaja menyelesaikan pemilihan parti diketuai oleh Ketua Perhubungan Umno yang juga Pengerusi BN Kedah yang baharu, Datuk Seri Mahadzir Khalid.
Turut bersama beliau adalah Datuk Seri Ahmad Bashah dan Ketua Pemuda, Wanita, Puteri dan ketua-ketua bahagian.
Sementara PH diketuai oleh Datuk Wira Mahfuz Omar, Nurin Aina, Tan Kok Yew dan AJK komponen parti masing-masing.
Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Sanusi Md Nor mengumumkan Dewan Undangan Negeri Kedah akan dibubarkan pertengahan Jun nanti.
Ekoran itu, pilihan raya negeri Kedah bersama lima buah negeri lagi akan diadakan Julai atau Ogos nanti.
Rundingan awal antara PH dan BN membayangkan calon MB Kedah dalam kerjasama ini adalah dari BN.
BACA JUGA Calon MB Kedah, Kelantan, Terengganu dari Umno sekiranya menang PRN
JUGA Tanah Rizab Melayu tidak berkurangan kecuali di Kedah
Â