‘Tak pernah saya label hari hitam, putih, hijau bila anak guam kalah kes’

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, sepanjang beliau mengendali kes mahkamah, tidak pernah beliau sebut mana-mana hari sebagai hari yang hitam jika kemenangan tidak berpihak kepada anak guamnya.

Menurut peguam itu, istilah ‘Jumaat yang hitam’ yang digunakan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan jelas adalah percubaan untuk menghasut rakyat.

“Bila anak guam saya kalah kes, saya tidak pernah sebut hari itu sebagai hari hitam ke, putih ke, hijau ke.

“Label ‘Black Friday’ yang diberikan adalah percubaan menghasut rakyat.

“Bila ditegur oleh Tuanku Sultan Selangor, cuba pula untuk ‘downplay’ apa yang dimaksudkan,” katanya mengulas kenyataan terbaru Takiyuddin semalam.

Takiyuddin Hassan menganggap kenyataan ‘Jumaat hitam’ yang dibuatnya selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan 16 peruntukan dalam enakmen jenayah syariah Kelantan terbatal adalah reaksi biasa sebagai peguam yang kalah dalam sesuatu kes mahkamah.

“Bila saya kalah kes, saya kata ‘ini Isnin yang hitam’ atau ‘Selasa yang hitam’. Ia hari yang hitam untuk anak guam saya,” katanya dipetik Malaysiakini ketika sesi dialog antara pemimpin Pas dengan media berbahasa Cina di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menegur kenyataan mengelirukan termasuk gelaran “Black Friday” oleh pemimpin tertentu terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Tanpa menamakan sesiapa, Sultan Sharafuddin bertitah ada pihak mengulas berdasarkan kepada polemik kepentingan pihak-pihak tertentu sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada umat Islam di negara ini.

BACA JUGA ‘Undang-undang Islam dah mansuh’: Kes parodi pempengaruh PN dirujuk Peguam Negara esok