Konsert Blackpink, Coldplay berjaya jana pulangan ratusan juta ringgit kepada ekonomi negara

Konsert berskala besar melibatkan artis antarabangsa seperti Coldplay dan Blackpink yang diadakan tahun lalu memberikan hasil yang cukup lumayan mencecah ratusan juta ringgit kepada ekonomi negara.

Biarpun pada waktu itu pembangkang berkeras mendesak kerajaan agar membatalkan konsert membabitkan artis antarabangsa, namun keputusan meneruskan acara hiburan tersebut berjaya memberi impak ekonomi yang besar.

Ia dibuktikan apabila konsert Blackpink sebagai contoh telah membawa pulangan ekonomi bernilai RM64 juta manakala konsert Coldplay pula RM130 juta.

Ini bermakna, kedua-dua konsert tersebut telah membawa pulangan kepada kerajaan Malaysia sekitar RM194 juta.

Selain itu kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, penganjuran konsert tersebut turut memberi sumbangan menerusi percukaian di mana Blackpink dan Coldplay masing-masing menyumbang RM2.7 juta serta RM8 juta kepada kerajaan.

“Ini bermaksud pulangan hasil bagi sebuah konsert bersamaan dengan lebih kurang penganjuran dua acara sukan.

“Penganjuran acara konsert tidak hanya memberikan pulangan kepada perbadanan stadium malahan turut dinikmati pelbagai sektor seperti e-hailing, hotel, pengangkutan dan logistik,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat kelmarin.

Hannah menambah, meskipun dua konsert berkenaan memberi impak ekonomi besar namun ia sama sekali tidak akan menjejaskan komitmen kementerian terhadap keutamaan memiliki padang bola yang baik.

Katanya, perkara ini dapat dilihat melalui syarat ketat yang dikenakan ke atas penganjur sebelum sesuatu konsert boleh mengambil tempat di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Malah, tegas beliau, Kementerian Belia dan Sukan juga meletakkan tanggungjawab kos pemulihan padang di atas bahu penganjur konsert dan bukannya Perbadanan Sukan Malaysia (PSM).

“Saya nak bagi keyakinan kepada semua bahawa Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan rumah kepada Harimau Malaya dan perlawanan mereka selalu mendapat perhatian dan fokus KBS.

“Itu sebab selalunya kita melibatkan banyak mesyuarat dalam pastikan perlawanan boleh berlangsung…untuk pastikan standard kita jaga,” katanya lagi.

BACA JUGA “Mentang-mentanglah kami orang kampung, naif”, orang Kedah bengang ‘dipermainkan’ isu tanah