Padah komen Type C, ‘admin’ Facebook DFC dipindah ke bahagian lain

Pengendali laman Facebook DarSA Fried Chicken (DFC) dilaporkan telah dipindahkan ke bahagian operasi yang lain selepas meninggalkan komen berbaur perkauman baru-baru ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Mohammed Faiz Zuhdi, individu yang mencetuskan kontroversi dengan komen sedemikian adalah seorang perempuan.

Dia dikatakan tidak memiliki latihan atau pengalaman dalam mengendalikan media sosial.

Mohammed Faiz Zuhdi berkata pihaknya mengambil tanggungjawab serius dan mendakwa tindakan staf terbabit tidak mencerminkan pandangan atau nilai yang dipegang oleh DFC.

“Sebagai tindakan tegas, pengurusan tertinggi telah memutuskan untuk memindahkan staf tersebut ke bahagian operasi yang lain.

“Staf tersebut seorang perempuan dan tidak memiliki latihan atau pengalaman dalam mengendalikan media sosial. Saya percaya dia tiada niat (yang tidak baik). 

“Bahkan sejam sebelum kejadian saya telah memberi arahan untuk tidak menjawab sebarang komen di media sosial,” katanya pada sidang media di Restoran DFC Rawang.

Terdahulu, restoran makanan segera yang mendakwa ianya ‘100 peratus milik bumiputera’ itu teruk dikecam pengguna media sosial selepas cuba bermain isu perkauman.

Restoran itu, yang disebut-sebut sebagai alternatif kepada KFC, ditegur kerana hidangannya agak mahal, namun respon yang diberikan pula menaikkan kemarahan ramai.

Ia selepas restoran tersebut mengingatkan seorang pelanggan agar tidak “ditipu oleh sentimen buruk yang dimainkan oleh ‘type C”, yang pengguna media sosial percaya merujuk kepada orang Cina di Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohammed Faiz berkata, dia tidak menyalahkan staf berkenaan dan menganggap apa yang berlaku mungkin disebabkan emosi.

Katanya, kesilapan itu turut berpunca daripada kelemahan pengurusan yang terlepas pandang.

Sementara itu, Mohammed Faiz turut mengesahkan bahawa pihaknya belum dipanggil oleh mana-mana pihak berkuasa susulan kejadian itu.

Susulan kontroversi yang berlaku, menurut Mohammed Faiz, DFC telah melantik pasukan profesional yang akan menguruskan komunikasi syarikat serta pengurusan media sosial.

BACA JUGA Tiga faktor kemenangan kerajaan, nombor 3 tu ada kaitan dengan PN