Bekas Setpol Hamzah Zainudin didakwa sekali lagi kes rasuah

Bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas pertuduhan meminta rasuah.

Kali ini, Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad dihadapkan atas dua pertuduhan meminta rasuah RM350,000 kerana membantu sebuah syarikat mendapatkan tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tertuduh berusia 42 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Semalam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, dia didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM350,000.

Semasa prosiding hari ini, Sayed Amir didakwa meminta suapan wang tunai RM350,000 daripada seorang pengarah urusan sebagai upah untuk firma itu mendapatkan tender.

Dia didakwa meminta jumlah itu daripada pengarah urusan syarikat berkenaan, Wan Azhar Mohamed Yusof pada Disember 2020.

BACA JUGA PM Anwar ucap tahniah kepada 3 negara ini yang akhirnya iktiraf Palestin