SPR tetapkan 17 Ogos PRK DUN Nenggiri
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia menetapkan 17 Ogos sebagai hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.
“Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 3 Ogos 2024 (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 16 Ogos 2024 (Jumaat).
“Urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK Dewan Negeri N.43 Nenggiri, Kelantan dibuka bermula dari hari ini, 28 Jun 2024 (Jumaat),” katanya.
Mohd Azizi Abu Naim adalah antara enam ahli Bersatu yang digugurkan keanggotaannya serta-merta selepas mereka gagal memberi sebarang jawapan berkaitan surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang) yang juga ADUN Nenggiri, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Terdahulu malam tadi, Mahkamah Tinggi menolak permohonan injunksi sementara yang difailkan Mohd Azizi untuk memohon perisytiharan menghentikan SPR daripada mengadakan pilihan raya di kawasan DUN berkenaan.
Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain selepas memutuskan bahawa Mohd Azizi tidak berdepan kemudaratan sekiranya PRK itu dijalankan.
BACA JUGA Mahkamah tolak permohonan, Mohd Azizi gagal hentikan PRK DUN Nenggiri
BACA JUGA Umum kerusi kosong: Speaker DUN Kelantan dah langgar prosedur – Pemuda AMANAH
BACA JUGA Sedia letak calon terbaik, UMNO Kelantan tekad rampas semula Nenggiri