Tujuh gesaan AMANAH terhadap Amerika Syarikat
Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini mengemukakan memo bantahan mengenai keadaan kemanusiaan Palestin kepada Amerika Syarikat (AS) yang disampaikan melalui Duta Besar di ibu negara.
Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Raja Bahrin Shah berkata, rakyat Malaysia kecewa dan dukacita dengan situasi rakyat Palestin yang sedang berlaku di Gaza dan Tebing Barat.
“Kami ingin menegaskan tuntutan kami dan menggesa kerajaan Amerika Syarikat untuk bertindak serta campur tangan dengan segera…,” katanya.

Berikut tujuh gesaan AMANAH kepada AS:
1) Menggesa Amerika Syarikat bertindak sebagai ‘broker yang jujur’ dalam menangani isu Palestin dan menghentikan sokongan terhadap tindakan pencerobohan serta keganasan yang berterusan oleh Israel.
2) Menggesa Amerika Syarikat untuk berhenti menggunakan kuasa veto dalam mana-mana resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan dengan kepentingan dan hak rakyat Palestin.
3) Menggesa Amerika Syarikat untuk mendesak Israel menghormati perjanjian mengenai hak kepulangan rakyat Palestin serta mempermudah pergerakan mereka, khususnya ke utara Gaza.
4) Menggesa Amerika Syarikat untuk memastikan penghantaran bantuan makanan, perubatan, dan khemah dilaksanakan sepenuhnya, serta membenarkan penghantaran jentera berat bagi membersihkan runtuhan bangunan yang dibom.
5) Menggesa kerajaan Amerika Syarikat untuk tidak menganggap pembangunan semula Gaza sebagai projek pembangunan hartanah serta memastikan semua rakyat Palestin di Gaza kekal di tanah mereka.
6) Amerika Syarikat harus menghormati dan memastikan Israel mematuhi sebarang keputusan serta resolusi yang dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan PBB mengenai Gaza.
7) Amerika Syarikat mesti memastikan semua hak asasi manusia dihormati serta dipatuhi oleh kerajaan Amerika Syarikat dan Israel.
“Kami percaya mesej ini jelas dan mewakili suara kemanusiaan sejagat,” kata Raja Bahrin lagi.
Baru-baru ini, Presiden AS, Donald Trump, telah mencadangkan rancangan kontroversi berkaitan penduduk Palestin di Gaza yang dianggap pembersihan etnik di wilayah dimusnahkan zionis itu.
Trump secara angkuh mencadangkan agar AS mengambil alih Gaza dan memindahkan kira-kira 2 juta penduduk Palestin ke negara-negara jiran seperti Mesir dan Jordan.
Dia mahu membangunkan semula Gaza menjadi destinasi pelancongan mewah yang digelar “Riviera Timur Tengah” sekaligus mengundang kecaman dan kritikan meluas di peringkat global.
Banyak pihak menegaskan bahawa penyelesaian konflik harus menghormati hak asasi penduduk Palestin dan mematuhi undang-undang antarabangsa.
BACA JUGA Perlunya reformasi tangani ‘rent seeking’
Â