Kenapa kerajaan tak naikkan harga belian padi sampai RM1,800? Ini jawapan menteri

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu tampil menjelaskan mengapa harga lantai belian padi tidak diselaraskan kepada RM1,800 per tan sepertimana yang dituntut oleh pesawah.

Mohamad berkata, banyak kilang padi Bumiputera terpaksa gulung tikar kerana tidak mempunyai modal pusingan yang cukup untuk membeli padi pada harga yang tinggi seperti RM1,800/tan yang berlaku dalam beberapa musim yang lepas.

Atas sebab itu katanya, sebagai kementerian yang bertanggungjawab untuk memastikan kelangsungan hidup keseluruhan rantaian sektor padi dan beras negara, maka Kementerian perlu mengambil kira semua faktor sebelum membuat sebarang keputusan.

“Antara penyebab yang menjadikan pesawah menuntut harga RM1,800 itu adalah kerana kenaikan kos bajak, pengangkutan dan upah yang berkaitan dengan penyelarasan semula subsidi diesel sejak Jun tahun lalu.

“Kementerian amat memahami tuntutan ini dan sebab itulah semalam, saya juga mengumumkan bahawa KPKM sedang dalam peringkat akhir perbincangan dengan KPDN dan MOF untuk memastikan penyedia perkhidmatan pembajakan, pengangkutan dan peralatan lain yang menggunakan diesel akan mendapat subsidi diesel,” jelasnya panjang dalam satu kenyataan di Facebook petang ini.

Mohamad berkata, perkara ini agak mengambil masa untuk dimuktamadkan kerana berpuluh ribu jentera, kenderaan dan peralatan yang digunakan dalam sektor ini tidak mempunyai dokumentasi yang lengkap dan kebanyakan hanya digunakan pada waktu tertentu.

Misalnya jentera penuaian hanya digunakan pada waktu menuai. Manakala pam air persendirian hanya digunakan pada waktu ingin memasukkan air di dalam bendang dan bukannya diguna sepanjang masa.

Justeru katanya, jumlah penggunaannya perlu dikaji dengan terperinci sebelum jenis dan jumlah bantuan dapat ditentukan.

“Apapun, saya amat yakin, jalan penyelesaian untuk mendapatkan subsidi diesel ini akan dapat dimuktamadkan.

“Saya juga yakin apabila bantuan diesel ini telah diberikan kepada penyedia perkhidmatan, maka kos pembajakan dan yang lain-lain juga akan turun. Untuk memastikan penurunan ini berlaku, KPKM boleh mengetatkan peraturan dan penguatkuasaan,” tambahnya lagi.

Jelas Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, penentuan harga lantai belian padi perlu mengambil kira pelbagai faktor lain seperti pergerakan harga beras dunia dan kos pemprosesan beras kerana harga jualan beras tempatan masih dikawal.

Kesemua harga-harga ini (harga lantai, harga pintu gudang dan harga beras) berkait antara satu sama lain dan perlu diselaraskan dengan cermat agar tidak mendatangkan kesan buruk pada masa hadapan.

Misalnya, jika harga beras import turun ke peringkat terendah seperti RM2,000 per tan, apakah kesannya jika harga beras tempatan pula pada kadar RM3,600 per tan?

Kemungkinan boleh berlaku padi tempatan tidak dibeli pengilang dan pengguna pun tidak berminat. Pada waktu itu, pesawah tentu akan tersepit sekali lagi.

“Akhir sekali saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Madani tidak akan sesekali mengabaikan pesawah di negara ini. Segala jenis subsidi masih terus diberi. Malah jumlah peruntukannya juga ditambah setiap tahun demi kesejahteraan pesawah.

“Apa yang penting adalah semua pihak perlu berpadu tenaga untuk membantu pesawah meningkatkan hasil (yield) bagi menambah pendapatan pesawah,” ujarnya.

Dalam pada itu Mohamad berharap agar hero pesawah semua akan terus mengerjakan sawah mereka dan tidak meninggalkannya kerana beliau tidak mahu apa yang telah berlaku kepada penanaman sayur yang dulu dikatakan rugi, tapi sekarang dikuasai oleh pendatang.

BACA JUGA Pandangan pemimpin Pas ditempelak, dulu masa jadi kerajaan kenapa RM1,200 per tan saja

BACA JUGA Menteri sambut cadangan MP Shah Alam, pertimbang insentif galakkan petani hasil padi lebih tinggi

Â