Duit lebih RM100 juta sah ditemui di kediaman bekas pegawai kanan PM9

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui wang tunai berjumlah lebih RM100 juta dalam satu serbuan ke rumah bekas pegawai kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut News Straits Times (NST) yang memetik sumber, SPRM berjaya menemui kesemua wang tersebut yang disimpan dalam beberapa beg dan peti besi di kediaman itu.

Penyiasat SPRM turut merampas dokumen, barang kemas dan peranti elektronik ketika melakukan serbuan terhadap kediaman itu.

Menurut laporan, pihak berkuasa sedang meneliti sumber wang berkenaan, termasuk kemungkinan mempunyai kaitan dengan dana politik.

Serbuan ke atas kediaman pegawai Ismail dilakukan oleh pasukan penyiasat khas, selepas pemantauan selama beberapa bulan terhadap dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan bekas pegawai kanan berkenaan.

Lapor portal bahasa Inggeris itu, SPRM sedang menyiasat apa peranan yang dijalankan pegawai kanan Ismail Sabri.

Semalam Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan penahanan empat orang pegawai kanan Ismail Sabri ketika menjadi Perdana Menteri.

Walaupun dia tidak menyatakan jumlah sebenar wang yang terlibat, Azam berkata, ia adalah “jumlah yang besar”.

Ismail Sabri dimasukkan ke sebuah hospital di Kota Damansara selepas rebah di rumah pada pagi Sabtu.

Pegawai-pegawai beliau dilaporkan ditahan sejak Jumaat.

BACA JUGA Ini gambaran bilik kalau simpan wang tunai RM150 juta

BACA JUGA Terdedah identiti pegawai bekas PM9, dua daripadanya bergelar Datuk

BACA JUGA Sah empat pegawai bekas PM9 ditahan SPRM

Â