Menara KL: Hanya syarikat pengurusan berubah, masih dimiliki kerajaan
Menara Kuala Lumpur dimiliki oleh kerajaan sepenuhnya dan hanya pengurusan yang berubah menerusi pengambilalihan konsesi dan operasi menerusi notis pelawaan cadangan(RFP), jelas Kementerian Komunikasi.
RFP ialah tender terbuka untuk projek kerjasama awam swasta (PPP).
“Bagi maksud tersebut, Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri telah melaksanakan RFP dan seterusnya Jemaah Menteri telah memperakukan pembida yang berjaya berdasarkan penilaian ke atas RFP tersebut.
“Pembida yang berjaya telah diumumkan oleh kerajaan pada 29 Mei 2024,” kata Kementerian Komunikasi dalam satu kenyataan.
“Kementerian Komunikasi kekal komited terhadap tatakelola yang baik dan akan memastikan perkara ini ditangani dengan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.
Ini kerana Syarikat Hydroshoppe yang merupakan pemegang konsesi terdahulu Hydroshoppe telah memfailkan writ saman dan memohon injunksi terhadap pelantikan syarikat konsesi baharu.
Hydroshoppe berbuat demikian dengan mendakwa bahawa ia telah pun memperoleh bidaan untuk tempoh 30 tahun.
Pada masa sama, semua pihak terlibat termasuk orang ramai dinasihat agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau mengambil tindakan yang boleh mengganggu proses perundangan yang sedang berjalan.
Syarikat yang memenangi konsesi pada tahun lalu ialah usahasama LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master Sdn Bhd.
Kedua-dua syarikat yang telah bergabung sebagai LSH Service Master Sdn Bhd telah memperoleh konsesi terbaharu mulai 1 April hingga 31 Mac 2045.
Dua syarikat ini mengambil konsesi pengurusan Menara KL setelah syarikat terdahulu Hydroshoppe Sdn Bhd terpalit dengan skandal rasuah di pentadbiran kerajaan terdahulu.
BACA JUGA: Annuar Musa dan menara jadi mainan nakal pengkritik