Siapa calon PN bakal bertempur dengan Ustaz Dr Yusri Bakir di Ayer Kuning?
Calon Perikatan Nasional (PN) dari Pas yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak bakal diumum esok.
Poster yang tersebar di media sosial memaklumkan Majlis Pengisytiharan Calon PN itu akan berlangsung di Dataran Awan Tapah Road pada jam 9 malam.

Terdahulu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilapor berkata, mereka telah memuktamadkan calon untuk bertanding di kerusi berkenaan.
Menurutnya, kempen untuk calon juga akan diatur dengan lebih agresif termasuk di media sosial selepas penamaan calon pada 12 April nanti.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) hari ini telah mengumumkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir sebagai calonnya pada PRK DUN Ayer Kuning.
Mohamad Yusri, 54, yang memulakan kerjaya sebagai guru pada 1992, memiliki Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Beliau kini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.
PRK N. 48 Ayer Kuning diadakan susulan penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu pada usianya 58 tahun selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018, menawan kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan mengaut majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.
BACA JUGA Surat pengesahan pesakit pun Pas buat ‘modal’ tunggang isu Abang Belon