Pemuda AMANAH Perak lapor polis dakwaan calon PN tipu tauliah mengajar
Pemuda AMANAH Perak hari ini membuat satu laporan polis terhadap calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek berhubung dakwaan penipuan untuk memperoleh tauliah mengajar.
Timbalan Ketuanya, Ahmad Munzirie Kabir berkata, calon dipercayai memperoleh tauliah mengajar daripada Jabatan Mufti Negeri Perak walaupun tidak layak kerana memegang jawatan politik dan kini bertanding dalam pilihan raya.
Beliau menegaskan ia bukan sahaja melanggar peraturan sedia ada, malah mengingkari titah Sultan Perak, selaku Ketua Agama Islam Negeri.
“Perlu ditegaskan, ini bukan isu remeh. Ini isu maruah institusi agama, integriti pentadbiran negeri, dan kedaulatan Raja Berperlembagaan.
“Tuanku Sultan Perak juga telah berkali-kali memberi peringatan dan amaran secara terbuka agar institusi agama tidak disalahgunakan untuk kepentingan politik.
“Maka, cubaan untuk memanipulasi proses tauliah adalah satu bentuk penderhakaan terhadap titah dan amanah yang telah diperkenankan Tuanku,” katanya kepada pemberita di hadapan IPD Tapah hari ini.
Ahmad Munzirie berkata, berkemungkinan kes ini melibatkan pemalsuan maklumat atau dokumen rasmi, yang merupakan satu kesalahan jenayah serius.
Justeru katanya aporan dibuat agar siasatan dijalankan secara menyeluruh dan tanpa kompromi, demi menjunjung semula keluhuran undang-undang serta titah Raja Pemerintah.
BACA JUGA AMANAH Perak gesa pihak berkuasa agama siasat dakwaan calon PN tipu tauliah
BACA JUGA Calon PN enggan ulas dakwaan tipu tauliah mengajar agama