Anak bekas Presiden Pas dilantik Mufti Wilayah Persekutuan
Pendakwah Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu berkuatkuasa 23 Mei lalu.
Perkara berkenaan disahkan menerusi Facebook rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang memuatnaik poster ucapan tahniah kepada Ustaz Fauwaz atas pelantikan berkenaan.

Beliau menggantikan Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman Abdullah, 55, yang telah berkhidmat sejak 15 Mei 2020.
Ahmad Fauwaz yang juga anak kepada bekas Presiden Pas, Allahyarham Fadzil Mohd Noor adalah Ahli Lembaga Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Tokoh ilmuwan Islam berusia 44 tahun dan lahir di Alor Setar, Kedah ini pakar dalam bidang Usul Fiqh, Kaedah Fiqhiyyah, Fiqh Perubatan.
Sahibus Samahah Ustaz Fauwaz memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir dan Sarjana Syariah dari Universiti Malaya (UM).
Adik kepada Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil ini juga mempunyai Sijil Kemahiran Fatwa dari Dar al-Ifta’, Mesir pada 2008.
Memenangi anugerah
Ustaz Fauwaz juga telah menerbitkan dan menterjemah lebih daripada 15 buku, termasuk “Fiqh Wanita: Menghalusi Kerahsiaan dan Permasalahan Wanita Semasa” yang memenangi Anugerah Buku Negara 2016.
Menggalas pelbagai amanah, Ustaz Ahmad Fauwaz merupakan Timbalan Yang Dipertua Kesatuan Ulama Muslim Antarabangsa (IUMS) Cawangan Malaysia.
Turut mengendalikan ruangan “Ustaz Fauwaz Fadzil Jawab” dalam akhbar Mingguan Malaysia, beliau juga adalah Penasihat Syariah di Alliance Islamic Bank Berhad, FWD Takaful Berhad dan Telaga Biru Sdn Bhd.
Penceramah tersohor berkenaan juga merupakan Pengasas dan Pengerusi Markaz Alqarahdaghi di Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor.
Selain itu, beliau adalah bekas pensyarah di Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Sungai Petani yang kini dikenali sebagai Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS).
Terlibat dalam lebih 20 pembentangan di pelbagai peringkat, Ustaz Fauwaz turut aktif berkongsikan ilmu agama di pelbagai saluran televisyen dan radio seperti IKIM FM, Astro Oasis, Sinar FM dan THR.
Tahun lalu, kerajaan melantik beliau untuk mengetuai jawatankuasa bagi membentuk modul silibus pemulihan akidah kanak-kanak GlSB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang diselamatkan pihak berkuasa.
BACA JUGA Penjajaran baharu politik mungkin berlaku menjelang PRU-16