Lagi vokalis kumpulan popular sertai AMANAH
Parti Amanah Negara (AMANAH) mengumumkan vokalis kumpulan Okay, Nazrin Ahmad menyertai parti itu sempena perasmian Mesyuarat Tahunan AMANAH Kawasan Sri Gading malam tadi.
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menerima borang keahlian baharu daripada Nazrin yang juga dikenali sebagai Jereen.
“Penyertaan saudara Jereen ke dalam keluarga besar AMANAH menggambarkan keyakinan golongan seni terhadap perjuangan nilai Rahmah, Keadilan dan Perpaduan yang dibawa oleh AMANAH.
“Selamat datang ke AMANAH, saudara Jereen!” kata Mujahid menerusi hantaran di Facebook.
Turut menyaksikan penyertaan Jereen adalah Pengerusi AMANAH Johor merangkap Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan dan Ketua AMANAH Kawasan Sri Gading, Mohd Salleh Samad.
Jereen Bersama kumpulan Okay yang dianggotainya pernah mencetuskan fenomena sekitar era 1990-an menerusi lagu malar segar, “Ku Relakan Dikau Pergi”.
Sebelum ini, vokalis kumpulan Mega, Rahmad Tohak atau dikenali sebagai Rahmad Mega diumum menyertai AMANAH.
Rahmad secara rasmi menyertai AMANAH pada 19 Jun lalu dan menyerahkan borang keahlian baharu kepada Presiden, Datuk Seri Mohamad Sabu.