‘Krisis kekurangan jururawat bakal menjadi lebih teruk kerana…’
Krisis kekurangan jururawat akan menjadi lebih teruk kerana pelaksanaan sistem kerja 45 jam oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kata seorang senator.
Beliau turut memberi amaran bahawa perkara ini akan menyumbang ke arah kehancuran sistem kesihatan negara.
“Saya ingin beri amaran tegas — jika pelaksanaan ini diteruskan, ramai lagi petugas kesihatan akan meletakjawatan dan sistem kesihatan negara akan menuju kehancuran. JPA harus bertanggungjawab sepenuhnya jika kegagalan ini berlaku,” kata Senator Dr A Lingeshwaran dalam satu kenyataan.
“Moral petugas kesihatan kini berada pada tahap paling rendah. Apa yang diperlukan bukanlah tambahan beban kerja, tetapi sokongan, insentif, dan pengiktirafan terhadap jasa mereka yang berkorban setiap hari demi kesihatan rakyat.
“Jangan tunggu sehingga hospital awam lumpuh, barulah mahu mencari siapa yang harus dipersalahkan. Jika JPA terus berkeras, maka merekalah yang akan dipertanggungjawabkan oleh rakyat.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada pengakuan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bahawa negara berdepan kekurangan jururawat yang kritikal.
BACA JUGA: KKM secara berterusan sedang tangani isu kekurangan jururawat
Menteri ambil maklum, cadangan jururawat kerja 45 jam akan diperhalusi segera