PM Anwar hargai sokongan isteri, ramai terus titipkan doa

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap sokongan berterusan daripada isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menerusi catatan ringkas di media sosial hari ini, Anwar berkata setiap langkah yang diambilnya sentiasa disertai oleh sokongan dan keprihatinan isterinya yang tidak pernah membiarkan beliau berseorangan.

“Di setiap langkah, ada tangan yang sentiasa memastikan saya tidak sendirian,” tulisnya.

Menerusi gambar dikongsikan Anwar, kelihatan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tambun itu sedang berjalan sambil diiringi Dr Wan Azizah.

Rata-rata memberi reaksi positif dan menyatakan sokongan serta mendoakan agar Perdana Menteri terus diberikan kesihatan dan kebijaksanaan dalam memimpin negara.

Tidak kurang juga yang memuji Dr Wan Azizah sebagai wanita, isteri dan ibu yang sangat luar biasa.

“Tangan ajaib itu sentiasa ada, ada masa dia menadah tangan berdoa untuk suaminya, ada ketika dia memimpin untuk beri semangat yang kuat, dan ada ketika dia disisi untuk menjadi pelengkap yang menjadikan lelaki itu hebat. Itulah seorang isteri yang setia sehingga ke akhir usia. MashaAllah. Tabarokallah..,” kata warganet.

Semalam, Anwar, 78, memaklumkan beliau semakin pulih serta melayan cucu selepas berehat daripada tugasan rasmi.

Pada 2 Oktober lalu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Anwar terpaksa membatalkan lawatan kerja ke Pahang selepas dinasihatkan oleh pasukan perubatan berikutan masalah sakit belakang yang menyebabkan pergerakannya terbatas.

BACA JUGA Celupar sangat doakan PMX meninggal dunia, individu ini akhirnya berduka