Tak masuk akal nak pertahan ‘zaman kegelapan’ Tabung Haji, Syed Saddiq bidas BN
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyelar pihak yang masih mempertahankan kelemahan pengurusan Tabung Haji (TH) yang membawa kepada kerugian berbilion ringgit.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai mempertahankan “zaman kegelapan dan kesilapan”.
Kata beliau, mempertahankan kesilapan lepas adalah perkara tidak masuk akal.
“Satu-satunya perkara yang saya ingatkan, dan saya beri peringatan dengan jelas, jangan meraikan zaman kegelapan dan kesilapan.
“Sebab merentasi empat perdana menteri, semua bersetuju kerugian itu berlaku, jumlahnya berbilion ringgit, dan beban itu perlu dibawa kepada generasi akan datang. Itu jelas.
“Sebab itu saya nak membidas mereka yang mempertahankan zaman kegelapan ini. Tak masuk akal,” katanya dalam podcast Ulasan RCI Tabung Haji di Facebook beliau malam tadi.
Syed Saddiq berkata, beliau menolak sekeras-sekerasnya naratif kononnya Tabung Haji rugi berbilion ringgit hanya kerana mahu mengagihkan hibah tinggi kepada pendeposit.
Hakikatnya kata beliau, perkara itu tidak ada dalam dapatan RCI, sebaliknya Suruhanjaya menekankan tentang keputusan pentadbiran dan pelaburan bermasalah yang menjadi punca kerugian TH, selain keputusan memberikan agihan hibah yang tinggi.
“Sebab itu saya menolak, membidas mereka yang meraikan berbilion ringgit kerugian, (dan bawa naratif) kerugian itu untuk kasi duit kepada pendeposit. Itu tidak betul. Its not true at all. It is category false. Tak ada pun kata dalam ni. Yang kata adalah kerugian berbilion ringgit sebab keputusan pelaburan bermasalah. Kerana creative accounting. On paper kata asetnya jumlah ini, tetapi realitinya asetnya jauh lebih rendah,” tambahnya.
BACA JUGA “Saya takut dan risau dengar hujah ini” – Syed Saddiq tempelak naratif hibah TH tinggi bukan masalah
BACA JUGA Syed Saddiq tegur BN seolah rai kerugian Tabung Haji