‘Terima kasih Tok Min’, ramai akui sebak anggap rakyat Negeri Sembilan tolak tuah
Pelbagai agensi dan jabatan kerajaan serta badan berkanun di Negeri Sembilan telah merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Aminuddin Harun atas jasa bakti dan kepimpinan beliau sebagai Menteri Besar.
Paling menarik perhatian orang ramai ucapan “Terima Kasih Tok Min” daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan (PTGNS).
“Terima kasih atas kepimpinan yang bervisi mampan, ketegasan yang berprinsip dan keprihatinan yang tidak pernah padam.
“Di bawah pentadbiran YABhg, Dato’ Seri Utama, Negeri Sembilan melangkah lebih maju, rakyat lebih terbela, dan perkhidmatan awam terus cemerlang,” menurut poster ucapan PTGNS itu.
Malah, disenaraikan empat ciri kepimpinan Tok Min:
“Kepimpinan berjiwa rakyat – Sentiasa mendahulukan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan.
“Transformasi dan kemajuan -” Membawa perubahan positif dim memacu negeri ke arah yang lebih gemilang
“Komitmen dan integriti – Menjadi teladan dalam integriti, amanah dan tanggungjawab.
“Legasi yang kekal – Jasa dan bakti akan sentiasa diingati dan dihargai,” kata PTGNS lagi.
Jasa dan bakti
Sementara itu, Yang Dipertua dan seluruh warga kerja Majlis Daerah Jelebu (MDJ) juga menyatakan, “jasa dan bakti akan sentiasa dikenang”.
Majlis Bandaraya Seremban (MBS) turut menerbitkan hantaran penghargaan rasmi di media sosial atas kepimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu sejak tahun 2018.
Selain itu, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) juga mengucapkan terima kasih atas sumbangan dan pentadbiran hal ehwal Islam.
Turut merakamkan penghargaan atas jasa dan bakti Tok Min sepanjang menerajui pentadbiran negeri, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sembilan serta Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS).
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai badan berkanun Persekutuan yang berpusat di Nilai juga menitipkan penghargaan dan terima kasih atas sokongan serta sumbangan beliau kepada universiti dan Negeri Sembilan.
Rata-rata netizen menyifatkan kepimpinan Tok Min sejak menerajui Negeri Sembilan telah terbukti tidak korup, sebaliknya banyak memberi manfaat kepada rakyat melalui pelbagai polisi dan inisiatif.
“Sebutir permata yang hebat tapi kerana dakyah, insan hebat ini dipinggirkan. Beliau tak rugi apa-apa, yang rugi rakyat Negeri Sembilan,” luah pengguna Facebook, Mariam Jaafar.
BACA JUGA DAP dah disingkir, Tok Min pun jatuh, BN-PN masih mahu lawan pilihan Yamtuan?