Baru tahu ‘non muslim’ di Malaysia tak boleh dikategorikan kafir harbi, ini penjelasan pejabat Mufti

Perbuatan melabelkan sebahagian daripada warganegara sesebuah negara dengan label kafir harbi merupakan satu perbuatan yang ekstrem dan keterlaluan.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, konteks kafir harbi yang boleh dilihat pada zaman sekarang boleh dirujuk kepada kumpulan Zionis dan Israel yang memerangi umat Islam.

Kata pejabat itu, dalam konteks Malaysia pula, mereka yang warganegaranya daripada kalangan bukan Islam jauh sekali untuk dimasukkan dalam kategori golongan kafir harbi kerana ia tidak menepati definisi dan tidak mencukupi ciri yang telah ditetapkan oleh para ulama. 

“Selain itu, melabelkan seseorang warganegara dengan gelaran ini akan membawa implikasi yang buruk dan dahsyat kerana mereka halal untuk diperangi, keamanan mereka tidak akan dijaga dan keselamatan harta benda mereka tidak akan dijamin

“Oleh yang demikian, perbuatan melabelkan sebahagian daripada warganegara sesebuah negara dengan label sebegitu merupakan satu perbuatan yang ekstrem dan keterlaluan

“Adapun jika ingin melihat konteks kafir harbi pada zaman sekarang, maka istilah itu boleh dirujuk kepada kumpulan Zionis dan Israel yang memusuhi dan memerangi umat Islam serta mengusirkan mereka daripada tempat kediaman dan tanah air mereka,” jelas pejabat itu dalam satu hantaran di Facebook hari ini

Kata pejabat Mufti WP, jika seseorang muslim berada di suatu negara yang tidak melarang dan menghalang mereka daripada mengamalkan agamanya, maka ia bukanlah dikategorikan sebagai Dar al-Harb.

Justeru, orang bukan Islam itu tidak termasuk dalam kategori kafir harbi, namun dia termasuk dalam salah satu kategori kafir yang dijaga keamanan dan keselamatannya, sama ada musta’min, mu’ahid atau zimmi.

“Dalam hal ini, Islam tidak melarang umat Islam melakukan kebaikan dan persahabatan dengan orang bukan Islam selain daripada golongan kafir harbi. 

“Hal ini dapat dilihat dalam banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW,” katanya lagi.

Selain daripada itu, terdapat konsep yang disebutkan sebagai kewarganegaraan (muwathanah) iaitu apabila seseorang yang hidup di sesebuah negara dengan menghormati perlembangaan dan mengikuti undang-undangnya serta memberi sumbangan yang baik kepada masyarakatnya, maka dia dikira sebagai seorang warganegara (muwatin) yang dilindungi hak peribadi dan keselamatannya. 

Kelmarin, seorang ahli Pas didakwa mengeluarkan tuduhan biadab kepada parti DAP dalam satu ceramah sempena PRK DUN Nenggiri, dengan menggelarkan parti itu sebagai “kafir harbi di Malaysia”.

Susulan itu beberapa pemimpin Melayu DAP menuntut permohonan maaf, namun tiada sebarang permohonan maaf dibuat.

Bagaimanapun individu yang dipercayai pengerusi majlis pada ceramah kempen waktu itu dilaporkan telah digantung daripada melibatkan diri dalam mana-mana kempen selama 3 hari.

BACA JUGA Label DAP kafir harbi: Pas enggan minta maaf, pengacara majlis digantung

BACA JUGA Melampau label DAP ‘kafir harbi’, Pas didesak mohon maaf

Â