Melayu, Madani dan Pas

Hari ini Malaysia dipimpin oleh seorang insan bernama Anwar Ibrahim. Beliau mewacanakan wawasannya dengan nama berikut: Membangun Negara Madani.

Wawasan beliau merangkumi anak Melayu, anak Cina, anak India, dan segenap lapisan masyarakat warga Malaysia.

Dalam konteks ini, masyarakat Melayu ialah masyarakat majoriti Malaysia. Idea madani yang dibawa Anwar banyak dibincangkan oleh Barat sebagai civil society namun apabila kita membaca “Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi” yang menjadi kitab kepada wawasan hari ini, pembaca akan melihat betapa banyaknya idea Islamik yang turut terangkum di dalam visi beliau.

Isu kos sara hidup merupakan antara masalah terbesar yang dihadapi bukan sahaja oleh masyarakat Melayu tetapi oleh seluruh warga Malaysia. Anwar prihatin berkenaan perkara ini.

Ini kita nampak dalam petikan berikut:

“Golongan kelas pertengahan di Malaysia yang mudah tergelincir kepada status miskin juga perlu diberi perhatian berseiringan masyarakat luar bandar.

“Ahli perniagaan, petani dan pekebun, orang tengah, buruh di pasar, pembekal dan pengguna kesemuanya harus dipertimbangkan secara menyeluruh dalam keseluruhan proses dari ladang ke meja makan.

“Kita harus mengawasi aktiviti import dan eksport serta menjelaskan peranan Malaysia dalam kerencaman perdagangan antarabangsa.”

Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani buku Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi yang dilancarkan dalam Program Wacana Membangun Negara Madani dan Amanat Perdana Menteri untuk Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 19 Januari 2023. Foto AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri

Antara langkah penyelesaian awal yang akan diambil oleh pentadbiran Anwar ialah meminta Jabatan Perangkaan berunding dengan kumpulan pakar ekonomi Malaysia bagi menetapkan semula dan menentukan penanda ekonomi tertentu.

Permasalahan dan langkah penyelesaian awal ini bukan untuk Ah Seng di Pulau Pinang dan Muthusamy di Klang semata-mata. Makcik Kiah di Baling dan Pak Mail di Bera turut disertakan. Pak Mail turut terangkum dalam wawasan madani ini meskipun beliau dan ramai lagi mempunyai kiblat politik yang berlainan dari politik reformasi Anwar.

Penulis faham bahawa masyarakat umum masih mempunyai fahaman yang samar-samar berkenaan kerangka wawasan Anwar bagaikan jerebu. Ini kerana kerangka wawasan ini bukannya boleh difahami dengan bahasa mudah.

Dari sudut masalah kos sara hidup, langkah-langkah awal sudah diambil. Ini akan diikuti dengan langkah jangka sederhana dan panjang untuk masyarakat Melayu dan seluruh ummah Malaysia.

Menjadi madani

Bagaimanakah kita boleh melibatkan diri dalam proses libat urus untuk kawasan tempat tinggal kita, kawasan DUN dan Parlimen?

Suara rakyat suara keramat. Suara anda suara rakyat juga. Justeru itu adalah penting juga untuk suara anda didengari oleh perdana menteri kita. Bagaimana ya?

Tubuhkan persatuan untuk dengan tujuan tertentu. Contohnya untuk menjaga alam sekitar. Contohnya boleh dilihat di Pulau Pinang dan Selangor.

Maaf, tradisi persatuan madani tidak mekar baik di negeri serambi Mekah mahupun negeri yang memperkenalkan amalan takfiri di Malaysia melalui Amanat Hadi.

Pas

Berkaitan dengan Pas, kita tak perlu pergi jauh. Di negeri serambi Mekah, hutan diteroka secara berleluasa sehingga kehidupan masyarakat orang Asli terjejas.

Bagaimana mungkin sebuah parti sahsiah bernama Pas tergamak berbuat sedemikian? Firman Allah di dalam Al-Ahzaab ayat 72 membawa maksud berikut:

Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.

Berdasarkan ayat di atas, bukankah Pas merupakan parti yang “melakukan kezaliman dan perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan”?

Nga mahu melestarikan perumahan rakyat manakala Sanusi Md Nor pula memainkan sentimen perkauman demi hayat politik.

Di Kedah, Menteri Besar Datuk Seri Sanusi Md Nor membawa perwatakan yang begitu keras terhadap lawan politik. Terbaru beliau langsung tidak menunjukkan sikap husnuzon kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang bercadang untuk mendapatkan khidmat pakar runding dari Lembaga Pembangunan dan Perumahan Singapura (HDB).

Beliau sebaliknya membuat kenyataan yang bersangka buruk dan memfitnah seorang menteri yang cuba melestarikan perumahan rakyat.

Dari satu sudut, usaha Nga selaras dengan kerangka madani yang dibawa Anwar.

Dalam perkembangan lain, Exco Belia Sukan dan NGO Kelantan Wan Roslan Wan Hamat yang juga merupakan setiausaha badan perhubungan Pas Kelantan berharap wawasan Anwar tidak mendiskriminasi negeri yang ditadbir Perikatan Nasional, lapor Harakah Daily.

Sudah terang lagi bersuluh kepimpinan Pas hanya melihat keburukan orang lain. Jika dibandingkan dengan Pas, apakah wawasan yang bermanfaat yang dibawa untuk rakyat Kelantan dan Terengganu?

Ketika berpeluang menjadi menteri persekutuan, Tuan Ibrahim Tuan Man pernah menyatakan bahawa Kelantan memerlukan 30 tahun untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang terkenal sebagai teh tarik.

Adakah ini sifat pemimpin yang difirmankan oleh Allah swt di dalam Quran?

Perkara yang dibangkitkan di atas wajar dijadikan kayu ukur ketika rakyat mengundi di dalam pilihan raya negeri di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Hakikatnya masyarakat Melayu penentu nasib negara ini. Janganlah kerana penunggang agama, nasib setiap insan diperjudikan.

Antara madu dan racun

Ingat, di negeri Perlis yang kini diperintah oleh Perikatan Nasional sekalipun tiada rancangan untuk 15 dewan undangan negeri diketengahkan sepertimana wawasan Malaysia Madani.

Saban hari kita rakyat marhaen juga menjadi saksi kepada keceluparan manusia yang menjadi penyokong totok Perikatan Nasional terutamanya Pas dan Bersatu.

Mereka tidak serik mendefinisikan Madani dengan perkara yang kurang adab.

Melayu yang saya kenal tinggi adab, budi pekertinya. Bagai bumi dengan langitnya bezanya dengan walaun Pas dan Bersatu yang berkempen dengan cara asabiyah.

Wahai umat Melayu, madu Madani di tangan kanan anda, racun asabiyah di tangan kiri anda. Pilihlah dengan bijak.

 

BACA JUGA: Dasar perumahan ancam keselamatan rakyat, dakwa Sanusi

Malaysia Madani pendekatan terbaik selamatkan negara – Anwar